10 Resepi Daging Korban Yang Mudah Dan Sedap Bagi Penggemar Daging

 Bismilllah.
Assalammualaikum.

10 Resepi Daging Korban Yang Mudah Dan Sedap  | Bagi penggemar daging, hari ni aku kongsikan resepi daging yang mudah dan sedap. Aku salah satu penggemar daging dan menu yang paling aku suka adalah daging goreng kunyit. 

Lepas ni dah tak perlu pening kepala nak masak menu apa, cuba je 10 resepi daging yang ada dalam entri ini  kerana sudah pasti resepi daging ini semuanya sedap sedap belaka. In shaa Allah. Apa kata, jom kita cuba membuatnya. 

10 Resepi Daging Yang Mudah Dan Sedap Bagi Penggemar Daging

#1 Kerutuk Daging Kelantan

Bahan bahan:
  • Daging secukupnya
  • 6 ulas bawang merah - hiris
  • 3 ulas bawang putih - hiris
  • Sedikit halia - hiris
  • 3 sudu besar rempah kerutuk
  • Gula Melaka
  • Garam
  • Asam keping
  • Kulit kayu manis dan bunga lawang
  • 1 sudu besar kerisik
  • 1 kotak santan kotak

Cara cara:

1. Panaskan minyak dan tumis semua bahan hiris bersama kayu manis, bunga lawang sehingga kekuningan. Masukkan rempah kerutuk yang tidak dibancuh dengan air dan goreng rempah kerutuk dengan pantas. Masukkan sedikit air dan masak sehingga rempah benar benar garing dan keluar minyak.

2. Masukkan daging dan kacau rata sebelum masukkan sedikit air dan masak sehingga daging empuk. Saya masak dahulu daging dengan pressure cooker bagi mempercepatkan ianya empuk.

3. Setelah daging masak, barulah dimasukkan santan dan masak sehingga mendidih. Masukkan pula gula melaka, kerisik, garam dan asam keping.

4. Masak sehingga kuah pekat dan pecah minyak. Sesuaikan rasa dan sedia untuk dihidangkan dengan nasi putih, cicah roti atau dimakan dengan apa sahaja. 

#2 Resepi Sup Daging Siam

BAHAN-BAHAN:
  • 1 kilo daging bercampur tulang lembu
  • 6 biji kentang
  • 3 biji tomato
  • Jus perahan limau nipis secukupnya
  • 1 pokok daun sup
  • Garam secukup rasa
  • Air secukupnya

*Air kena banyak sebab nak kena rebus tulang ni sampai dagingnya empuk , kena check daging untuk pastikan daging empuk atau belum jika tidak perlulah ditambah air dan terus rebus tulang lagi.

BAHAN-BAHAN TUMIS :
  • 3 sudu besar rempah sup
  • 2 biji bawang merah
  • 1 biji bawang besar
  • 3 ulas bawang putih
  • 1 inci halia
  • 1 inci lengkuas
  • 2 batang serai dititik
  • 5 biji cili api-boleh tambah

CARA MEMASAK :

1. Semua bawang , halia , lengkuas dikupas kulit dan dimayang halus . Kupas semua ubi kentang dan dipotong empat , tomato juga dipotong 4 .

2. Panaskan sedikit minyak dalam periuk dan tumis semua bawang tadi kemudian masukkan remaph sup . Kacau semua bahan ini sampai wangi dan terus dimasukkan air yang secukupnya dalam periuk . Masukkan serai , cili api dan semua tulang/daging , biarkan sampai mendidih .

3. Masukkan jus perahan limau nipis secukupnya ikut citarasa masing-masing kalau suka lagi masam tambah la lagi jus limau nipis.

4. Masukkan garam dan kacau sup sekali-sekali sehingga daging masak serta menjadi empuk , kemudian boleh la dimasukkan semua ubi kentang . Biarkan ubi kentang empuk dan baru la dimasukkan buah tomato , bila buah tomato nampak layu boleh la ditutup api dapur dan tabur la daun sup yang sudah di potong halus ke dalam sup.


resepi daging korban


#3 Daging Bulgogi


BAHAN-BAHAN:

  • 350gm daging | dihiris nipis
  • 2 sudu besar kicap masin
  • 2 sudu besar kicap manis
  • 2 sudu besar gula
  • 1 sudu besar madu
  • 1/2 sudu besar minyak bijan
  • 1 sudu besar bijan | disangai
  • 1 pokok daun bawang | dipotong halus
  • 3 ulas bawang putih | dicincang halus
  • 1 sudu besar lada hitam | ditumbuk kasar
  • 1/2 sudu kecil serbuk perasa

CARA MEMASAK:

1. Satukan semua bahan perapan kecuali daun bawang dan bijan. Gaul rata dan perapkan daging selama 1-2 jam.

2. Panaskan kuali dan tuangkan daging serta sos perapan ke dalamnya.

3. Balik-balikkan daging biar masak sekata. Biarkan sehingga sos perapan mengering.

4. Apabila dagingnya sudah empuk, taburkan daun bawang dan bijan ke dalam masakan.



#4 Paprik Daging


Bahan-bahan :
  • 1/2 kilo daging potong dn rebus spai empuk simpan air rebusan
  • 2 senduk besar cili blend kurang kan klu tak suka pedas
  • 1 senduk besar cili sos
  • 1 senduk besar sos tiram
  • 3 ulas bawang putih di ketuk shj
  • Sebiji bawang besar di potong dadu
  • Sebiji bawang besar utk hiasan
  • Sayur ikut citarasa sendiri
  • Daun limau purut
  • Tomato dibelah 6
  • Cili api dan cili merah untuk hiasan
  • Garam gula dn perasa secukupnya

Caranya :

1. Tumis bawang hingga naik baunya. Bubuh cili blend di tumis seketika.

2. Masukkan cili sos dan sos tiram. Masukkan daging dan air rebusan

3. Bubuh sayur dan bahan2 yg lain. Perasakan secukup rasa.

4. Kalau pekat tambah sedikit air.



#5 Daging Masak Palembang


Bahan-bahan:

  • 700 gram daging – potong lebar dan nipis
  • 2 batang serai – dititik
  • 500ml santan pekat
  • 1 cawan kicap lemak manis Cap Kipas Udang
  • 1 sudu besar sos tiram minyak

Bahan (dikisar):


  • 1 biji bawang besar
  • 5 biji bawang merah
  • 3 ulas bawang putih
  • 2 cm halia
  • 3 cm lengkuas
  • 15 biji cili kering

Rempah Penumis:


  • 3 cm kulit kayu manis
  • 2 kuntum bunga lawang
  • 2 kuntum bunga cengkih
  • 3 biji buah pelaga

Cara-cara Menyediakan:


1. Panaskan minyak secukupnya dan tumis bahan kisar, bahan penumis bersama serai sehingga pecah minyak.

2. Masukkan daging dan gaul sebati. Tutup kuali dan masak dengan api sederhana sehingga keluar air daging dan biarkan seketika.

3. Masukkan kicap dan diikuti dengan santan. Biarkan masak hingga daging mula empuk.

4. Kacau sekali-sekala sehingga masak dan kuah menjadi pekat. Sesuaikan rasa.

Hidangkan.






#6 Daging Begedil



Bahan Daging Begedil:

  • 500g daging kisar
  • 1 biji bawang besar, dikupas dan dipotong halus
  • 1 sudu besar herba campuran
  • 2 sudu besar serbuk roti
  • 3 sudu besar BBQ Sauce
  • ½ sudu kecil garam

Bahan A:


  • 1 biji bawang besar, dikupas, dipotong kepada beberapa bahagian.
  • 1 biji lobak, dikupas dan dipotong.
  • 1 biji tomato, dihiris.
Perisa:

  • 3 sudu BBQ Sauce
  • 1 sudu kecil garam
  • 600ml air

Cara-cara Menyediakan:


1. Masukkan semua bahan bergedil daging dalam mangkuk dan gaul. Kemudian bentukkan menjadi saiz kecil sebelum digoreng dalam minyak panas hingga menjadi garing.

2. Tuang minyak ke bekas lain dan tinggalkan sedikit dalam periuk. Goreng bawang hingga naik baunya. Masukkan bahan A, daging dan perisa. Kecilkan api biarkan ia masak selama 30 minit.

3. Selepas itu, ia sudah boleh dihidangkan. Lebih sedap jika ia dimakan bersama roti.



#7 Rendang Daging Cili Hijau


Bahan-bahan

  • 1 kg daging batang pinang
  • 250 ml santan
  • 2 sudu besar kerisik
  • Garam secukup rasa
  • 2 sudu besar gula melaka
  • 2 keping asam gelugor
  • 2 btng serai-di ketuk
  • 2 helai daun kunyit- buang urat dan hiris halus
  • 1/2 cwn minyak utk menumis
  • sedikit air jika perlu

Bahan (dikisar)

  • 4 batang serai-hiris halus
  • 1 inci halia
  • 1 inci kunyit hidup
  • 1 inci lengkuas
  • 30 biji cili padi hijau
  • 5 tangkai cili hijau
  • 6 biji bawang merah
  • 1 labu bawang besar
  • 5 ulas bawang putih

Cara-cara Menyediakan:

1. Panaskan minyak dalam kuali dan tumis bahan2 kisar hingga naik bau. Masukkan serai yg di ketuk.
Kemudian masukkan daging dan kacau hingga rata. Masukkan sedikit air dan biarkan daging sedikit empuk. Guna api sederhana je masa ni.

2. Selepas itu masukkan santan, kerisik,asam gelugor,gula melaka dan garam secukup rasa.
Kacau lagi di atas api yang perlahan dan masaklah hingga pekat. Masukkan daun kunyit.

3. Bila cukup kering, bolehlah diangkat. Sedia untuk dihidangkan.



#8 RESEPI DENDENG DAGING BERLADO


BAHAN-BAHAN:

  • 500gm daging | rebus dan hiris nipis dan lebar
  • 10 biji cili merah
  • 8 biji bawang merah
  • 4 ulas bawang putih
  • 1 biji tomato| potong dadu
  • 1 batang serai |ketuk
  • 2cm halia
  • Minyak masak secukupnya
  • Garam dan gula secukupnya
  • Sedikit air rebusan daging

CARA MEMASAK:

1. Tumbuk kasar bawang merah, bawang putih dan cili merah. Ketepikan.
Panaskan minyak di dalam kuali dan goreng daging yang telah direbus terlebih dahulu hingga garing. Angkat dan ketepikan.

2. Tinggalkan sedikit minyak di dalam kuali dan tumis bahan yang telah ditumbuk kasar tadi hingga terbit harum.

3. Setelah itu masukkan daging yang telah digoreng tadi. Tambahkan serai dan hirisan halia. Perasakan dengan garam, dan gula secukup rasa.

4. Jika suka, tambahkan sedikit air rebusan daging agar tidak kering. Masak hingga semua rempah meresap ke dalam daging.

5. Angkat dan sedia dimakan dengan nasi panas.

Info chef: Daging direbus terlebih dahulu supaya ia lebih rangup apabila digoreng.



#9 Daging Masak Rendang 


BAHAN-BAHANNYA :

  • 2 kg daging lembu pejal, dipotong kiub, cuci dan toskan
  • 2 kuntum bunga kunyit, hiris halus'
  • 2 helai daun kunyit, hiris halus
  • 5 helai daun limau purut
  • 2 liter santan (dari 3 biji kelapa)
  • Air panas secukupnya
  • 5 camca besar penuh kerisik
  • 4 camca besar rempah kari daging Baba's
  • 1 senduk nasi cili kisar
  • 3 keping asam gelugor
  • 2 camca besar hirisan gula melaka
  • Garam secukup rasa

BAHAN-BAHAN KISAR HALUS :

  • 2 biji bawang besar, saiz sederhana
  • 18 biji bawang merah
  • 7 ulas bawang putih
  • 10 biji buah keras
  • 1/2 inci belacan
  • 2 inci kunyit hidup
  • 30 biji cili padi
  • 12 batang serai, hiris halus

BAHAN TUMIS :

  • 1 batang kayu manis
  • 2 kuntum bunga lawang
  • 8 kuntum bunga cengkih
  • 4 biji buah pelaga
  • 5 biji bawang merah, hiris halus
  • 2 ulas bawang putih, hiris halus

CARA MEMBUATNYA :

1. Satukan bahan kisar halus bersama rempah kari, kacau rata hingga sebati. Ketepikan. Panaskan minyak dalam kuali, masukkan bahan2 tumis dan tumis hingga harum, tambah cili kisar dan tumis hingga cili garing. Masukan rempah kari + bahan kisar halus tadi dan masak hingga terbit minyak dan rempah garing, guna api sederhana dan kacau selalu.

2. Masukkan daging dan kacau rata. Masak hingga daging kecut. Tuang santan, kacau dan biar mendidih hingga pekat. Masukkan garam (sedikit dahulu), kerisik, asam gelugor dan daun limau purut. 

3. Kacau rata dan terus memasak hingga sedikit kering. Kalau masa ini daging masih agak keras, tuang sedikit air panas dan sambung masak, guna api kecil.

4. Masukkan gula melaka dan sedikit lagi garam. Kacau rata dan masak hingga rendang kering tapi masih lembap. Masuk hirisan bunga dan daun kunyit, gaul rata dan masak lagi. Rasa dan jika ok boleh matikan api. Hidangkan bersama ketupat, lemang, nasi dan sebagainya.





#10 Daging Bistik 


Bahan-Bahan:

  • 1/2 kg daging batang pinang (dipotong kiub)
  • 1/2 kg ubi kentang (dipotong dadu)
  • 4 sudu besar tepung gandum
  • 4 sudu besar marjerin
  • 3 sudu besar minyak masak
  • 1 sudu teh serbuk lada hitam
  • 4 cm kulit kayu manis
  • Bahan perasa
  • Kacang pis untuk hiasan

Bahan (kuah):

  • 300 ml air
  • 5 sudu besar sos tomato
  • 3 sudu besar cili boh
  • 1 sudu besar tomato puree
  • 1 kiub stok daging

Bahan (dikisar):

  • 1 biji bawang besar
  • 6 biji bawang merah
  • 3 ulas bawang putih

Cara-cara Menyediakan:

1. Gaul daging batang pinang bersama tepung gandum, serbuk lada hitam dan garam. Perapkan selama 30 minit dalam peti sejuk.

2. Panaskan minyak serta marjerin dalam kuali sehingga cair. Masukkan daging tadi dan goreng hingga perang. Angkat dan ketepikan.

3. Kemudian,masukkan kayu manis serta bahan kisar dalam kuali yang sama dan tumiskan sehingga naik wangi. Masukkan pula ubi kentang dan kacau rata. Tuang air dan masak hingga kentang separa empuk.

4. Masukkan daging dan semua bahan2 kuah. Kacau rata dan tutup kuali dan masak dengan api perlahan hingga kentang dan daging empuk.

5. Setelah itu,masukkan bahan perasa dan taburkan kacang pis sebagai hiasan.
Siap untuk dihidang.


7 تعليقات

Sila tinggalkan comment korang disini!

إرسال تعليق

Sila tinggalkan comment korang disini!

Post a Comment

أحدث أقدم